Saturday, March 14, 2020

SUDIRMAN KESAL PENGANJUR TIDAK PENUHI JANJI


Kejayaan Sudirman Haji Arshad meraih gelaran Penghibur Terbaik Asia di London Mac tahun ini dalam pertandingan lagu Salem Music Awards bukan sahaja mengharumkan nama beliau tetapi juga nama negara di arena antarabangsa.

Selepas Sudirman berjaya mencapai gelaran Penghibur Terbaik Asia, pihak penganjur berjanji akan menaja konsertnya ke seluruh negara sebelum beliau berlepas ke London untuk merakamkan lagu One Thousand Million Smiles, namun hingga kini janji itu belum dipenuhi.

Bagi Sudirman sebagai seorang penghibur, peminat amat bermakna bagi dirinya dan konsert seluruh negara yang dijanjikan oleh penganjur merupakan peluang baik baginya menemui peminat di seluruh ceruk rantau.

"Sebagai penyanyi rakyat saya memang sentiasa mahu memberi kepuasan kepada peminat yang telah banyak menyokong saya, tetapi saya masih tertunggu-tunggu janji penganjur sehingga kini," kata Sudirman pada sidang akhbar di Kuala Lumpur Khamis lalu.

Sudirman juga melahirkan rasa kesal kerana pihak penganjur lebih berminat membawa penyanyi luar negara menghiburkan peminat di sini.

"Saya tidak faham kenapa penyanyi luar dibawa masuk sedangkan persembahan mereka adalah sekadar untuk tontonan segelintir masyarakat kota sahaja, bukan seluruh rakyat Malaysia," kata Sudirman.

Menurutnya, Malaysia sendiri mempunyai beberapa orang penyanyi yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa selain dirinya sendiri. Di antaranya ialah Sheila Majid, Noor Kumalasari dan Khatijah Ibrahim.

"Sayangnya pihak penaja hanya berminat kepada artis luar saja, artis negara sendiri yang berbakat dibiarkan begitu sahaja tanpa memberi peluang kepada mereka," kata Sudirman.

Menurut beliau, sikap penganjur yang seperti inilah yang menjadikan beliau sering jauh hati dan merancang jika beliau mempunyai kedudukan yang kukuh dalam bidang seni suara, beliau akan berusaha memperkenalkan artis-artis tempatan ke peringkat antarabangsa.

Dalam sidang akhbar tersebut yang diadakan bagi memberitahu pemergiannya ke London untuk rakaman di Abbey Road Studio, Sudirman juga memberitahu Penerbangan Malaysia (MAS) dan Perbadanan Kemajuan Pelancongan (TDC) akan menjadi penaja utama dalam setiap pemergiannya sama ada untuk rakaman atau persembahan di peringkat antarabangsa.

Di majlis itu juga Sudirman diberi anugerah khas oleh Syarikat Rakaman EMI kerana kejayaannya dalam bidang seni suara. Anugerah itu merupakan kristal berbentuk piramid.

Sumber: Tulisan wartawan hiburan Muzlina Abu Bakar dalam akhbar Utusan Malaysia terbitan tahun 1989.








Beberapa gambar eksklusif Sudirman bersama Komposer Fauzi Marzuki sewaktu merakamkan lagu di Abbey Road Studios, London.

No comments: