Sunday, March 8, 2020

MENATAP SUDIR DI SAAT AKHIR



OLEH KERANA ramai orang yang percayakan berita-berita angin yang menghebahkan Sudir dah meninggal dunia, maka berita benar Sudirman telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4 pagi Sabtu (22 Februari 1992), membuatkan saya sendiri masih tidak mahu mempercayainya bulat-bulat.

Tapi saya yang masih berada di tempat tidur pada jam 7.30 pagi itu, terus bangun bila dikejutkan dari tidur dan mengatakan ada orang telefon dari pejabat memberitahu Sudir dah meninggal dunia.

Sudir dah meninggal dunia? Betulkah begitu? Saya masih lagi tidak mahu percaya berita itu, tapi badan saya dah lemah, hati saya dah sebu sebak, macam bom tunggu meletup, tunggu nak meraung sepuas-puasnya.

Terus saya batalkan saja rancangan untuk hadir di perhimpunan Hari Seniman Malaysia pada jam 9 pagi di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Hulu Klang.

Walau apapun saya mesti pergi ke rumah kakak Sudir di Bangsar, untuk melihat sendiri benar atau tidak berita itu.

Bila kereta membelok saja ke Lorong Taban, hati saya terus menangis, badan jadi lemah melihat beberapa orang Polis telah berkawal di situ. Kereta-kereta sudah berderet sepanjang tepi jalan raya. Bahkan kereta jenazah pun sudah menunggu.

Ya Allah, betul Sudir dah tak ada, beginilah kata hati saya sambil melangkah masuk mendapatkan kakak-kakaknya Ani, Aisyah... semuanya menangis.

Sudir sudah terbujur kaku dikatilnya... wajahnya seperti dia sedang tidur dengan tenang... mungkin begitu lembut malaikat mencabut nyawanya. Sudir, akhirnya pergi meninggalkan kita semua.

Mana Rodziah, kakak kesayangan Sudir?

Dia sedang sembahyang di biliknya. Kemudian kami berdua berpelukan dan bertangisan.

Kata saya kepada Rodziah: "Rodziah, redhakanlah adik awak pergi, daripada dia menderita dan merana. Tuhan lebih sayangkan dia.

Sebagai kakak, awak telah banyak berkorban selama dia sakit, hingga terpaksa meninggalkan suami berbulan-bulan dengan izin suami juga.

"Saya redhakan jawab Rodziah dalam sedu sedannya.

"Pukul berapa dia nazak? Siapa-siapa dapat menghadapnya di saat-saat akhir?" tanya saya.

"Yang ada, hanya saya dan Ani. Basir (Abang Sudir) tak ada, pergi Terengganu.

"Diman nazak sekejap aje. Kami sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah," jawab Rodziah.

Kedua kakak Sudir, Rodziah dan Ani, mengatakan, sejak Sudir (yang dipanggil Diman) sakit, mereka memang tak nyenyak tidur kerana menjaga Sudir yang juga tak nyenyak tidur, terkebil-kebil di tengah malam, matanya hanya memandang ke atas saja.

Kata Rodziah, sejak dua bulan ini mereka adik-beradik semua bersembahyang berjemaah saban hari. Dan Rodziah sendiri saban malam bangun di tengah malam, 2 pagi, 3 pagi, 4 pagi, bila tersedar terus bangun menunaikan sembahyang hajat, mendoakan Diman sembuh.

Kata Rodziah lagi, dia pernah terbaca dalam buku yang ditulis oleh Prof. Dato' Dr. Haron Din, ulama terkemuka pakar perubatan secara Islam, bahawa keluarga yang menjaga "orang sakit" hendaklah berpuasa.

"Saya pun berpuasa, qadha' semua puasa-puasa yang pernah ditinggalkan masa lalu.

"Macam-macam saya lakukan untuk Diman, tapi sudah takdir apa nak buat" ujar Rodziah yang terus menangis kesedihan.

Tak minta pertolongan Dr. Haron Din?

Mendengar pertanyaan ini Rodziah terdiam sejenak... kemudian menjawab: "Saya dah menghubunginya. Dr. Haron Din meminta saya bawa Diman ke pusat perubatan secara Islam di Darussyifa', Bangi.

"Saya katakan pada Dr. Haron Din, macam mana saya nak bawa dia ke Darussyifa', dia lemah dan tak boleh berjalan. Dia sakit, kalau saya dukung pun badannya terasa sakit. Saya kesian, tak sampai hati.

"Tapi, kata Dr. Haron Din, bawalah, asalkan sampai ke Darussyifa', dalam kereta pun tak apa, tak payah turun kalau takutkan orang surat khabar ambil gambar."

Memang kata Rodziah, dia tidak sanggup adiknya itu menjadi serbuan orang-orang surat khabar. Walaupun Sudirman Penghibur No.1 Asia, menjadi milik masyarakat dan punya jutaan peminat, tapi Rodziah memegang amanah adiknya itu, yang semacam tahu dia akan jatuh sakit, lalu berpesan, jangan izinkan sesiapa pun datang melihatnya.

Rodziah masih tidak berputus asa, manalah tahu dengan izin Allah, mungkin Dr. Haron Din yang dapat mengubati Sudir. Apakah Dr. Haron Din tidak boleh datang ke rumah mengubati Sudir?

Dr. Haron Din akhirnya bersetuju, tapi ketika itu beliau harus berangkat ke luar negara, beliau meminta menghubunginya semula setelah beliau pulang ke tanah air nanti.

Sesungguhnya, segala sesuatu adalah dengan izin Allah jua. Dengan izin Allah jua hati Dr. Haron Din mungkin belum terbuka untuk menziarahi Sudir. Itulah yang dinamakan takdir.

Rodziah beryukur kerana dia tidak pernah merungut penat dan bosan selama menjaga Sudir sakit. Kerana Sudir adalah adik kesayangannya. Mereka berdua begitu rapat sekali. Segala cerita baik dan cerita buruk, maupun keluh kesahnya semuanya Rodziah tahu.

Kata Rodziah: "Diman tau agaknya dia nak mati, kerana itu dia sengaja menjauhkan dirinya dari adik-beradik semua. Dia tu memang suka menyendiri... bukan kami semua tak sayangkan dia, tapi dia yang suka membawa diri.

"Beberapa bulan sebelum jatuh sakit, Diman menulis surat panjang kepada saya. Disebutkan sekali, walaupun dia semacam tak rapat dengan adik-beradik, sebenarnya dia amat sayang dengan semua abang-abang dan kakak-kakak.

Kata Rodziah lagi, "dia adik bongsu saya, saya tau perangainya. Dulu masa arwah nenek nak meninggal. Diman semacam dah tau, semua orang pergi jumpa, tapi dia tak mau jumpa. Akhirnya baru dia kata, kerana nenek orang yang paling disayanginya, dia tak mau tengok nenek dalam keadaan tenat. Dia takut merana kerana rindu."

Masakan seorang adik bongsu, tidak menyayangi abang-abang dan kakak-kakaknya.

Sudir, saya kenal dekat, bila setiap kali kami dapat berbual panjang dan lepak-lepak... topik perbualan yang paling disukainya ialah bercerita zaman kecilnya dulu, siapa-siapa abangnya dan kakaknya.

Sesungguhnya dia amat penyayang dan meminta perhatian. Seolah-olah hendak dibelai dan dimanja. Tapi kepada siapa?

Al-Fatihah buat Sudir semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sumber: Tulisan Wartawan Hiburan Senior Allahyarhamah Bahyah Mahmood (BAM).


No comments: