Wednesday, March 11, 2020

MISI SUDIR HARUMKAN NAMA NEGARA


PEMILIHAN ke atas penghibur terkenal, Sudirman Haji Arshad untuk mewakili Malaysia ke The Asian Popular Music Award pada 19 Mac depan, merupakan satu penghargaan kepada artis-artis negara ini.

Ini adalah kerana Sudirman terpilih bersama sembilan penyanyi lain dari sembilan negara lain dari rantau Asia untuk mengadakan satu persembahan konsert di Royal Albert Hall di London.

Bagi seorang penyanyi yang ingin mencari kejayaan di peringkat antarabangsa menyanyi di Royal Albert Hall samalah seperti impian pemain bola sepak yang beraksi di Stadium Wembly. Satu peluang yang tidak boleh dilepaskan.

Lain-lain artis yang terpilih mewakili negara masing-masing ialah Anita Sarawak (Singapura), Harvey Malaihollo (Indonesia), Lesley Cheung (Hong Kong), Lui Jian (China), Sarah Chen (Taiwan), Kuh Ledesma (Filipina), Masahiko Kondo (Jepun), Jeon Yong Rok (Korea Selatan) dan Anchalee (Thailand). Melihat barisan artis dari negara Asia yang lain, pastinya peminat dapat mengagak bahawa persembahan itu nanti hebat, dan Sudirman sendiri pastinya membuat persediaan yang terbaik demi mengharumkan nama negara.

Sewaktu melihat persembahan Sudirman di Konsert Avon pada 26 Februari lalu, ternyata Sudirman telah membuktikan ia seorang penghibur memandangkan persembahannya menarik, aksinya lincah, tariannya menggegarkan perasaan penonton serta Sudir kelihatan sungguh bertenaga.

Dan rasanya selepas menghadiri sidang akhbar mengenai pemergian Sudirman ke London nanti, satu yang tersemat di hati bahawa anak muda ini tidak akan mengecewakan kita.

Menariknya persembahan ini nanti akan dipancarkan ke negara-negara yang mengambil bahagian dan lain-lain negara yang berminat dan jika tiada aral melintang, para penonton di negara ini akan berpeluang menyaksikan persembahan Sudir nanti bila ditayangkan kelak.

Persembahan "The Asian Popular Music Award" yang disertai sama oleh Sudirman akan dapat disaksikan menerusi rakaman yang akan disiarkan oleh TV Malaysia. Sehingga ini belum dipastikan sama ada RTM mahupun TV3 yang akan menayangkan persembahan ini nanti.

Sudir sendiri akan menyampaikan dua buah lagu dalam bahasa Inggeris, sememangnya kita sedar Sudir berkebolehan menyampaikan lagu Inggeris dengan baik seperti yang telah dibuktikan selama ini.

Dan Sudir akan menyampaikan dua buah lagu original yang sedikit sebanyak mempunyai ciri mengenai negara ini serta cinta. Pemergian Sudir ini nanti akan ditemani oleh pengurusnya Dharanee Dharan Kannan dan pemuzik/komposer profesional Michael Veerapen. Mereka berlepas pada 13 Mac ini.

Sepertimana yang dijelaskan oleh Sudirman ia menyampaikan lagu Inggeris memandangkan persembahan itu adalah peringkat antarabangsa. Persembahan itu akan dihadiri oleh orang-orang kenamaan dan artis-artis yang ternama.

Selepas sidang akhbar itu, Sudir menyatakan persembahan di Royal Albert Hall, merupakan satu titik permulaan, kerana jika semuanya berjalan lancar, Sudir ingin menjelajah dan mengadakan persembahan di lain-lain kotaraya di dunia, kerana memenuhi undangan menyanyi di tempat-tempat itu.

"Namun yang penting, saya akan lakukannya selepas pelancaran album saya yang ke-16 dan selepas itu mengadakan show-show di negara ini," katanya.

Sumber: Sisipan Pancaindera akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 12 Mac 1989.

No comments: