Saturday, March 7, 2020

KEMATIAN SUDIRMAN JADI BERITA UTAMA SEMUA AKHBAR


KUALA LUMPUR 23 Feb. - Hampir semua akhbar harian tempatan, termasuk akhbar bukan Melayu, hari ini menyiarkan berita kematian penyanyi nombor satu Asia, Sudirman Haji Arshad sebagai berita utama di muka satu (lead story).

Akhbar-akhbar tersebut turut memaparkan gambar Allahyarham di muka depan dengan pelbagai aksi yang mencerminkan imej tersendiri penyanyi kesayangan ramai itu, antaranya ketika Sudirman sedang minum minuman jenama 'SUDI' dan ketika menyanyi di atas pentas dengan "diselubungi" bendera Malaysia.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4 pagi semalam akibat radang paru-paru di rumah kakaknya di Bangsar setelah menghilangkan diri selama tujuh bulan.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh, Pahang.

Liputan luas akhbar-akhbar bukan Melayu ini sekaligus menunjukkan Sudirman adalah penyanyi yang berjaya menambat hati semua lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama.

Contohnya akhbar China Press, selain daripada memilih berita kematian Sudirman sebagai berita utama, turut menyediakan satu muka penuh gambar berwarna-warni penyanyi lincah itu dalam pelbagai aksi.

"Kita memilih berita ini sebagai 'lead story' kerana ia mempunyai nilai berita yang tinggi kepada semua lapisan masyarakat di negara ini," kata seorang jurucakap syarikat akhbar itu.

Sebuah lagi akhbar utama Cina, Tong Bao juga tidak mahu ketinggalan dengan memaparkan kematian Sudirman sebagai berita utama, dengan diiringi gambar warna Sudirman sedang memegang minuman SUDI.

Akhbar Sin Chew Jit Poh pula memaparkan gambar Allahyarham sedang mengucup trofi yang dimenangi sewaktu Pertandingan Muzik Popular Asia yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989.

Akhbar itu meletakkan berita kematian Sudirman sebagai berita utama membuat laporan penuh mengenai karier Sudirman serta liku-liku hidupnya.

Nanyang Siang Pau turut meletakkan berita kematian Allahyarham Sudirman sebagai berita muka depan dan dua kolum lagi berita mengenainya di muka surat enam dan tujuh.

Akhbar popular di kalangan masyarakat Cina itu antara lain menyebut Sudirman adalah penyanyi bertaraf antarabangsa yang disayangi oleh rakyat di negara ini, termasuk oleh peminat bukan Melayu.

Dua akhbar Tamil tempatan, Malaysia Nanban dan Tamil Nesan menyiarkan berita kematian Sudirman sebagai berita utama serta memaparkan gambar ahli keluarganya sedang menangisi pemergian penyanyi kesayangan ramai itu.

Tamil Nesan melaporkan, Allahyarham dalam persembahannya sering menyanyikan lagu Tamil dengan aksi yang melucukan dan menghiburkan.

Antara lagu-lagu Tamil yang pernah didendangkan oleh penyanyi serba boleh itu ialah "Kaddahvandi.... Kappatha Vanthavandi" yang bermaksud kereta lembu dan "Puthiya Vanam, Puthiya Bumi" (Bumi baru).

Akhbar itu mengulas Allahyarham sebagai penyanyi yang merendah diri dan sering menyifatkan dirinya sebagai orang kampung.

Sebuah lagi akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh memuatkan berita kematian Sudirman di muka satu tetapi bukan sebagai berita utamanya.

Akhbar itu menyifatkan, kehilangan Sudirman sebagai kehilangan yang akan dirasakan oleh peminat seni suara tanah air.

Mingguan Malaysia turut menyiarkan berita kematian penyanyi itu sebagai berita utama muka satu hari ini dengan gambar-gambar serta laporan yang menyeluruh oleh wartawan-wartawannya.

Begitu juga dengan akhbar berbahasa Inggeris The Star.

Bagaimanapun, Berita Harian dan New Straits Times tidak menjadikan berita kematian Sudirman sebagai berita utamanya.

No comments: