Sunday, October 28, 2012

Sudirman di Hawaii

Sudir bersama pembantunya Petejoe & pengurusnya Mr. Dunn di Hawaii.

Bagaikan hikayat seribu satu malam, BAM mengisahkan (imbas kembali) perihal kehebatan seorang penghibur ternama - Sudirman Haji Arshad (Allahyarham) semasa hayatnya dulu.

Apatah lagi selepas menjulang award Asian Music Awards di Royal Albert Hall, London (1989) mengalahkan penghibur-penghibur ternama di rantau Asia, termasuk Anita Sarawak dari Singapura dan Leslie Cheung dari Hong Kong. Sudirman yang meyandang gelaran 'Best Performance' - Penghibur No.1 Asia semakin mendapat perhatian di pentas-pentas dunia Eropah.

Berkisah tentang Hawaii, kata Sudir, "Sebelum sampai di Hawaii, saya ingat saya akan menyanyi di hotel lima bintang macam selalu. Tapi hotel ini semacam. Luasnya sampai 80 ekar. Panjangnya satu batu. Nak pergi bilik kena naik kereta api elektronik atau motobot.

Kereta apinya ada dua. Motobot ada tiga. Kereta apinya pula masuk keluar hotel, bahkan sampai ke dalam lobby hotel. Memang ralit kita dibuatnya. Macam alam fantasi, macam Disneyland!".

Bagaimana layanan mereka terhadap Sudir?

Mr. Dunn (Dharanee, pengurus Sudir) tersenyum lebar menjawab: "Huh, Sudir macam anak Raja Arablah. Untuk Sudirman disediakan Limousine panjang enam pintu sampai dua buah, putih dan hitam. Dan sebuah kereta mewah berwarna merah. Sudirman boleh pilih yang mana saja, siap dengan pemandu.

Salah sebuah limo panjang yang disediakan untuk Sudirman.

"Tapi Sudirman, kalau show, dia tak suka jalan-jalan. Pekerja-pekerja dialah yang pakai segala kemudahan, termasuk saya," ujar Mr. Dunn sambil ketawa bergurau.

Cerita Mr. Dunn lagi: "Hotel ini - Waikoloa Beach Resort termewah di dunia. Menelan belanja 400 juta dolar."

"Tapi kesian Sudirman.... masalah dia, makanan. Walaupun dia boleh makan apa saja tapi Sudirman, kalau dia tak berkenan, dia tak usik. Biarlah mahal macam mana pun. Last-last dalam biliknya dia makan 'maggi' aje. Kadang kala dia telan telur mentah, tahan lapar," kata Mr. Dunn.

 Waikoloa Beach Resort, Hawaii.

"Standing Ovation" 2 Kali


Teringin juga nak tahu, macam mana show Sudir di Hawaii?

Cerita Mr. Dunn: "Sebelum show, memang orang tak kenal siapa Sudirman. Walaupun ada desas-desus tentang dia, tapi mereka tidak tahu siapa.

"Masa show, penonton seramai 1,800 orang, kebanyakan mat saleh, semacam punya berlagak. Mereka kalangan elit yang memang meminati show-show penghibur-penghibur terkenal dunia.

"Bila tiba saatnya Sudirman tampil ke pentas, nampak wajah masing-masing semacam, menyombong buat tak kisah, mereka macam mahu Sudirman buktikan macam manalah shownya, mungkin mereka fikir, siapalah si dia ini, lebih-lebih lagi dia datang dari Asia.

"Ternyata pada malam itu Sudirman bekerja keras. Penyanyi latarnya seorang sahaja, Sarah. Sebab seorang lagi terkandas tak dapat visa. Tapi Sudirman tak peduli itu semua, Sudirman bila sudah berada di pentas. 'Pentas itu aku punya', segala kelemahan dapat ditutupnya dengan aksi persembahannya.

"Penonton-penonton yang semacam dingin aje pada mulanya, macam ndak tak ndak aje pandang Sudirman, tapi last-last mereka beri Sudirman "Standing Ovation" sebanyak dua kali dan meminta Sudirman menyanyi lagi.

"Yang pada mulanya macam sombong pada Sudirman, last-last naik pentas beri dia bunga dan menciumnya berkali-kali.

"Kalau Kak BAM ada bersama, mesti Kak BAM bangga kerana artis dari sebelah Asia, Melayu pulak tu, telah dapat memenangi hati penonton mat saleh yang begitu kritikal dan keras macam batu," cerita Mr. Dunn.

Esoknya, semua orang di hotel tersebut kerumun Sudir, hulur autograph, tangkap gambar dan memuji-muji Sudir macam nak rak. Kata mereka, "Sudirman akan mencabar Michael Jackson".

Apa kata Sudir?

"Tau-taulah Sudirman tu, dia tak makan puji. Bila orang puji, dia tersengih aje."

Mr. Dunn turut berasa bangga, bila mereka kata, belum pernah melihat penyanyi dan penghibur seperti Sudirman. Semua penonton terus terpaku, tak bergerak-gerak di tempat duduk mereka. Lepas satu lagu ke satu lagu dengan showmanshipnya yang memukau.

Kata Mr. Dunn, dia faham sangat dengan perangai Sudir, bila dia merasakan kewibawaanya tercabar, kerana mat-mat saleh tu tengok tubuh badannya yang kecil, sebab itulah dia lanyak penonton-penonton yang ada itu dengan persembahannya yang betul-betul kelas kerana geram dan tercabar.

Minuman SUDI Atas Pentas


Penonton-penonton menjerit-jerit bila mereka nampak muka Sudirman di minuman tin SUDInya. Seorang wanita Amerika yang dijemput oleh Sudirman naik ke pentas, menjerit...! "My... he's got his face on the can!!". 

Memang, mula-mula mereka ingat agaknya Sudirman artis kokak aje, tapi perlahan-lahan mereka sedar siapa Sudirman sebenarnya. Apalagi, esoknya ramai yang meminta minuman SUDI nak bawa pulang. Sudir kata, tunggu bila dia 'famous' di Amerika nanti. Sudirman acah-acah aje tu!

Perempuan Mat Saleh Marah-Marah


Menceritakan pengalamannya selama beberapa hari mengikut Sudir ke Hawaii, kata Mr. Dunn, memang banyak peristiwa yang ditempuhinya. "Kecik-kecik Sudirman, tapi dia pandai mengajar mat-mat saleh ni yang memandang rendah kepada orang-orang Asia. Sudirman memang bijak dan tidak gentar berhadapan dengan sesiapa aje!"

Satu lagi peristiwa, lagi dahsyat, cerita Mr. Dunn: "Semasa Sudirman masuk Limousine panjang di bandar, seorang wanita mat saleh berbadan besar telah menghampiri kereta tersebut, terus terjah si pemandu dan memaki hamunnya dengan kata-kata yang kesat dan sumpah seranah macam-macam, saya pun tak faham. Mungkin dia geram dan marah sangat, si driver mat saleh yang sebangsa dengannya menjadi driver orang Asia.

Yang Mr. Dunn ingat antara lain kata-kata perempuan mat saleh itu: "I hope that man pays you a lot of money for making you his slave (saya harap orang itu bayar awak banyak wang untuk kamu menjadi 'khadamnya')...."

"Sudir memang bengang sangat menghadapi peristiwa itu, tapi dia kawal dirinya seboleh mungkin, kerana mengenangkan dirinya itu adalah 'tetamu terhormat'.

Kata Sudirman: "Biarkanlah perempuan itu seperti anjing menyalak bukit. Namun di sudut hatinya terasa juga, mentang-mentanglah dia orang Asia, macam tak layak aje mat saleh menjadi 'driver'nya."

Kena Tahan

SAM bodyguard Sudir duduk di sebelah kirinya.

Telah berlaku satu lagi peristiwa yang agak mencemaskan juga, bodyguard Sudirman, SAM amat dicurigai oleh mat-mat saleh di Hawaii sana.

Baik polis, pegawai imigresen dan sekuriti, semuanya menyangka SAM 'gangster' kulit hitam dari Chicago. Dia orang ingat, SAM orang Mafia

"Ke mana-mana sahaja SAM ditanya macam-macam tentang siapa dirinya dan entah apa-apa lagi.

Komen Mr. Dunn: "Ini semua kerja Sudirmanlah. Dia yang membentuk imej SAM begitu, saja-saja."

Kata Sudir: "Biar lantaknya, mat-mat saleh tu takut kepada bayang-bayangnya sendiri."

JULAI 1991 - lima bulan selepas show Hawaii Sudir jatuh sakit.... detik-detik kematiannya semakin hampir. Tak siapa tahu kehendak Allah S.W.T. Yang Maha Berkuasa ke atas hamba-hamba-Nya. Yang Maha Menyanyangi dan Maha Mengasihi. Tujuh bulan lamanya Sudir terlantar dan akhirnya dia meninggalkan dunia yang fana ini buat selama-lamanya (22 Februari 1992) sentiasa diingati!

Kematian adalah rehat daripada kedukaan dunia! Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas rohmu! Bahagialah kamu di alam Barzakh menunggu alam akhirat. Al-Fatihah buat Sudir yang dikasihi.

Petikan: Majalah URTV November 2012, "abadi dalam kenangan" catatan Bahyah Mahmood.

Teringat-Ingat Sudir di Hawaii

No comments: