Saturday, March 14, 2020

RAHSIA KEJAYAAN SUDIRMAN SEBAGAI USAHAWAN


Namanya menjadi sebutan ramai, lagu-lagu dendangannya menjadi siulan anak kecil hingga orang dewasa. Caranya bercakap, tersenyum, berjalan dan menari juga menjadi ikutan.

Tetapi yang lebih ketara menjadi satu trend ialah cara dan fesyen beliau berpakaian, cukup diminati, unik dan 'up to date', penuh idea kreatif dan menarik perhatian.

Tidak keterlaluan, apa saja yang Sudir pakai adalah 'trend baru' dan akan dipakai oleh orang lain. Lebih menarik lagi, Sudir mempunyai daya penariknya sendiri untuk mengajar orang lain mengikut 'trend'nya.

Sudirman Hj. Arshad, setelah membuktikan beliau mencipta nama besar dalam dunia nyanyian, kini membuktikan pula penyanyi boleh berjaya dalam dunia niaga.

Setelah berjaya dengan minuman ringan SUDI kini mengejutkan peminat dengan kedai SUDIR SHOPPE, yang menjual barangan pakaian seperti jeans, kemeja T, tali pinggang, cermin mata dan sebagainya yang mempunyai 'trademark' SUDIR.

Rangkaian SUDIR SHOPPE adalah di Lot 074, Tingkat Bawah, Sungei Wang Plaza dan di 68 Jalan SS 21/62, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.


Temubual Eksklusif tentang Rahsia Kejayaan, SUDIRMAN HJ. ARSHAD 

SUDIRMAN HJ. ARSHAD, sudah membuktikan kejayaannya dalam dunia nyanyian, kini mencipta kejayaan dalam dunia perniagaan. Bagaimana Sudir menempa kejayaan-kejayaan itu. Majalah Usahawan Malaysia, berkesempatan membuat temuramah Eksklusif dengannya untuk mencungkil rahsianya.

S: Pendorong Sudir dan bilakah Sudir mula merancang untuk berniaga?

J: Tidak ada pendorong yang khusus. Cuma perancangan yang saya rangkakan selepas rumah tangga saya runtuh, saya mesti berkeupayaan membuka perniagaan sendiri. Pada tahun 1988, saya memulakan pelan 10 tahun dari tahun 1990 ke tahun 2000.

Ketika ini kerjaya seni saya berada di ambang penerokaan yang lebih jauh setelah mendapat pengikhtirafan di Kota London sebagai Penghibur/Penyanyi Terbaik Asia pada 1989, saya lebih berkeyakinan.

Jadi 'timing'nya memang tepat kerana saya boleh memberi perhatian terhadap perniagaan  di tanah air dan membawa kerjaya seni saya ke dunia antarabangsa. Dan InsyaAllah, perniagaan saya akan menyusuli setiap pencapaian saya di bidang seni.

S: Langkah awal dan strategi Sudir?

J: Setelah membuat 'research' pada tahun 1989 tentang industri minuman ringan, saya lebih berkeyakinan. 20 juta minuman tin dijual setiap bulan. Dan yang utama; saya perlu menjual 500,000 tin sebulan. Dan mengikut anggaran secara 'konservatif' kalau saya mempunyai 100,000 peminat setia dan setiap seorang membeli 5 tin sebulan, matlamat saya akan tercapai. Tetapi, secara optimis, saya percaya peminat saya lebih ramai daripada itu. Kemungkinan juga setiap rakyat Malaysia mahu mencubanya asalkan mutu atau kualitinya terpelihara.

S: Matlamat dalam dunia niaga?

J: Setiap perniagaan mahu keuntungan. Jadi setiap matlamat adalah sama. Kita memberi perkhidmatan awam dengan baik dan mengharapkan pulangan yang baik juga. Yang penting di sini, setiap perniagaan mesti dapat merapatkan diri dengan masyarakat.

S: Sebagai penyanyi SUDIR kaya dengan 'glamour', adakah ianya menentukan kejayaan SUDIR hari ini?

J: "Glamour" adalah satu istilah yang tidak pernah saya sangkutkan kepada diri saya. Yang penting, saya bekerja kuat. Kalau kita berusaha dengan gigih dan mengekalkan mutu dengan sendirinya perhatian orang ramai muncul.

"Glamour" hanyalah kesan sampingan dari usaha yang gigih. Tetapi "glamour" semata-mata untuk "glamour" tidak akan menjanjikan apa-apa. Kita mesti berfikir, merancang dan berusaha dengan bijak. Ini "glamour" sebenar.

S: Apakah RAHSIA KEJAYAAN SUDIR?

J: Kerja. Kerja. Kerja.

Saya menganggap setiap usaha seperti menanam benih. Ada benih yang memerlukan seminggu untuk tumbuh, ada yang perlukan sebulan atau setahun. Yang pasti, semuanya akan tumbuh, cuma masa yang akan menentukan. Dan kalau pelaburan ini dilakukan sejak 15 tahun yang lalu, tentu ganjarannya berlipat kali ganda.

Kita akan berjaya kalau kita lakukan apa yang kita suka dan mahir di dalamnya. Misalnya, kalau saya diberi tugas yang saya tak suka atau tak tahu-menahu, tentu hasil kerjanya tidak sebaik tugas yang saya mahir dan senangi. Perbaiki lagi mutu hasil kerja kita dan hampirkan diri dengan keperluan dan citarasa masyarakat. Dan paling penting, jangan mengalah dan tak sabar atau nak cepat kaya.

Pengurusan wang juga penting dan penjagaan pekerja juga penting. Kalau kita nak menang, misalnya, lumba kuda, kita jaga kuda itu, beri ia makan dan sebagainya. Kalau ia dibelasah sahaja, ia tidak akan berlari dengan laju.

Saya kurang pasti tentang orang lain. Yang saya pasti, saya percaya dalam melakukan sendiri apa yang saya mahukan. Kerana projek itu projek sendiri, hanya kita sahajalah yang benar-benar dapat merasakan keperluan untuk kemajuan.

Saya tidak suka bersifat "kalau gagal" atau memikirkan reaksi yang negatif. Ini penyakit paling bahaya sebab ia menjalar ke otak dan seterusnya menjadi pegangan yang salah.

Jagalah mutu barangan, pasaran yang licin, usaha yang gigih dan penampilan yang menyenangkan orang ramai. Kita tak akan buat silap. Lagi satu, jangan bersifat mahu dimanjakan atau mengharap bantuan luar.

S: Apakah SUDIR akan bersara bila berjaya dalam perniagaan nanti?

J: Saya tidak pernah menyuarakan mahu bersara dari menyanyi. Tapi kalau takdir, saya terima. Perancangan saya terlalu banyak untuk dibentangkan. Kita tunggu dan lihat. Yang penting kita mempunyai akal, yang sebenarnya merupakan jentera terhadap segala perancangan dan pencapaian. Gunakanlah ia dengan bijak.

S: Sumbangan dan nasihat anda untuk masyarakat dan usahawan yang mahu mengikut jejak SUDIR?

J: Ini sering saya fikirkan. Saya amat sensitif kepada kemiskinan mungkin sebab saya pun berasal dari kemiskinan. Sering juga saya membantu yang memerlukan tetapi sejauh mana boleh saya lakukan ini?

Yang penting, kepada peminat dan penyokong, saya salurkan kata-kata nasihat dan bimbingan untuk mereka contohi. Tetapi segala punca, terbit dari diri sendiri. Kalau mahu semua boleh jadi. Tapi kita mesti berusaha.

Anda mungkin kata, saya bolehlah melakukannya sebab saya dikenali ramai. Tapi tahukah anda, selama 15 tahun saya bertungkus-lumus untuk dikenali ramai dan lantas mengenepikan sijil guaman. Dan masanya sudah tiba untuk menuai hasil dan menanam benih semula. Sekarang ada tabung projek ikhtiar yang cuba membantu ekonomi orang Islam tanah air. Saya amat bangga dengan wujudnya projek ini. Semoga kesempatan ini dipergunakan sebaiknya. InsyaAllah, tidak akan ada orang bergelar 'miskin' lagi.





Sumber: Majalah USAHAWAN MALAYSIA terbitan Mei 1990 Cover Story SUDIR & NOOR Mencapai Impian.

No comments: