Monday, March 16, 2020

SUDIRMAN JADI PENERBIT DAN PENGARAH FILEMNYA SENDIRI


Penghibur Terbaik Asia, Sudirman Haji Arshad akan menerbit dan mengarahkan filemnya sendiri akhir tahun ini di bawah syarikat SUDIR FILM PRODUCTION.

Beliau kini mempunyai dua buah skrip yang ditulisnya sendiri iaitu Mem dan Seniwati. Skrip-skrip itu dikhaskan kepada rakan karibnya Noor Kumalasari (Mem) dan primadona kesayangannya Sarimah (Seniwati).

Sudirman yang ditemui di pejabatnya minggu lalu memberitahu, setakat ini beliau masih belum menentukan mana satu antara kedua skrip tersebut yang akan difilemkan dulu.

Langkah menerbit dan mengarahkan filem ini merupakan satu lagi kemajuan dicapai oleh Sudirman setelah kejayaannya sebagai penyanyi dan ahli perniagaan. Sebelum ini Sudirman pernah membintangi filem Kami arahan Patrick Teoh.

"Walaupun saya tidak mempunyai sijil kelayakan untuk mengarah filem, saya yakin dapat melakukannya, walaupun mungkin ramai yang akan mempertikaikan kebolehan saya," kata Sudirman.

Menurutnya, beliau menimba banyak pengalaman melalui rancangan hiburan terbitan TV yang disertai disamping bahan-bahan bacaan mengenai penerbitan dan pengarahan filem.

"Saya juga mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari seniman dan pengarah veteran dan juga pengarah muda yang telah menunjukkan bakat dan kebolehan yang membanggakan untuk membantu saya dalam tugas pertama itu," kata Sudirman.

Menurut Sudirman, melalui rancangan hiburan di mana beliau bertindak selaku hos, tugasnya bukan setakat menyanyi malah skrip ditulis olehnya lengkap dengan lakaran bagaimana keadaan yang dimahukan sewaktu rakaman dibuat. Ini merupakan asas dalam bidang pengarahan yang sering dilakukan oleh pengarah veteran tanah air.

Sudirman memberitahu walaupun hasratnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman sering tergendala berikutan kesibukannya dalam bidang nyanyian, kini keputusannya adalah muktamad dan beliau harus mencuba melakukan sesuatu untuk membuktikannya.

Bagi Sudirman walaupun filem pertama dan seterusnya akan diarah sendiri, beliau tidak pernah gentar kerana yakin bahawa sesuatu yang dilakukan dengan usaha sendiri akan lebih meyakinkan.

"Saya lebih percaya pada diri dan kebolehan sendiri. Bagaimanapun percayalah saya tidak akan teragak-agak atau malu untuk bertanya kepada mereka yang berpengalaman jika saya mengalami masalah," kata beliau.

Menyentuh mengenai skrip Mem yang ditulis sejak beberapa bulan lalu dan dikhaskan untuk lakonan Noor Kumalasari dan beliau, Sudirman memberitahu:

"Mem membawa kisah mengenai kehidupan hari ini yang berlandaskan masalah para siswazah yang tidak bekerja dan saya akan memegang peranan siswazah itu."

Sementara Seniwati membawa kisah mengenai seorang peminat yang terlalu memuja, meminati dan menyayangi seorang primadona.

Bagaimanapun setelah dia mendapat tahu seniwati itu adalah ibu kandungnya, rasa sayang bertukar menjadi benci dan di sinilah bermulanya konflik jiwa peminat berkenaan.

"Peranan peminat itu akan saya lakonkan sendiri dan sudah pasti primadona itu dilakonkan oleh seniwati kesayangan saya, Sarimah," kata Sudirman.

Oleh: Muzlina Abu Bakar

Sumber: Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Jun 1990.

No comments: