Monday, March 9, 2020

KELUARGA SUDIRMAN BELUM BERSEDIA FIKIRKAN SOAL PEMBERIAN PENGHARGAAN


KUALA LUMPUR 24 Feb. - Keluarga Allahyarham Sudirman Haji Arshad belum lagi memikirkan mengenai soal penghargaan yang hendak diberikan oleh mana-mana pihak kepada Allahyarham kerana mereka kini dalam keadaan berdukacita.

Kakaknya, Rodziah yang telah menjaga Allahyarham semasa penyanyi itu terlantar sakit selama tujuh bulan berkata, beliau tidak langsung terfikir mengenai perkara itu.

Kami sedang dalam keadaan kesedihan, apa yang kami ingatkan hanyalah Diman (panggilan mesra Allahyarham) yang telah pergi buat selama-lamanya, kami belum bersedia untuk memikirkan perkara-perkara lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sudirman Haji Arshad, 37, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4.00 pagi Sabtu lalu di rumah Rodziah di Lorong Taban 1, Bangsar.

Allahyarham dikebumikan di tempat beliau dilahirkan iaitu di Kampung Chengal, Temerloh, Pahang pada hari yang sama.

Berita kematiannya telah mendapat perhatian umum dan juga pemimpin negara yang juga turut melahirkan simpati dan menganggap ia sebagai satu kehilangan besar kepada dunia hiburan negara.

Malam semalam Timbalan Perdana Menteri, Encik Ghafar Baba mengumumkan akan mempertimbangkan untuk memberi penghargaan kepada Allahyarham kerana kerajaan menghargai sumbangan penyanyi itu dalam bidang seni.

Bagaimanapun Ghafar berkata, kerajaan akan melihat dahulu pandangan daripada ahli-ahli seni dan badan-badan yang bersangkutan sebelum memutuskan apakah bentuk penghargaan yang bakal diberikan.

Rodziah dalam suara yang sayu menambah, beliau akan mengadakan majlis tahlil di rumahnya sehingga Jumaat ini.

"Majlis tahlil malam ini hanya kami khaskan untuk ahli keluarga terdekat, manakala malam seterusnya kami tidak menghalang orang ramai untuk turut serta," ujarnya.

Petikan keratan akhbar dua hari selepas pemergian Allahyarham Sudirman bertarikh 24 Februari 1992.

No comments: