Wednesday, March 25, 2020

SUDIRMAN PERKENAL MALAYSIA DI HAWAII


Lagu-lagu yang menjadi kegemaran Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj akan menghiasi persembahan hiburan Penghibur Terbaik Asia, Sudirman Haji Arshad dalam segmen mengenalkan Malaysia di Hyatt Waikoloa Beach Resort, Kona Island, Hawaii pada 17 Januari depan. 

Selain lagu-lagu yang menjadi kegemaran Almarhum, persembahan selama dua jam itu juga akan dipenuhi dengan lagu-lagu Inggeris dari negara-negara yang menyertai konvensyen perniagaan barang-barang pengeluaran yang dikendalikan oleh Sunrider International.

"Almarhum adalah orang yang dikenali dan disanjung dan saya orang tidak begitu mengenali. Jadi, saya rasa adalah lebih baik saya membawakan sesuatu yang lebih bermakna untuk mengenalkan Malaysia dengan kisah-kisah Bapa Kemerdekaan kita yang disanjung oleh masyarakat dunia.

"Selain dari lagu-lagu kegemaran Almarhum, saya telahpun merancangkan sesuatu yang lain untuk para penonton malam itu mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Ini merupakan satu penghargaan dari saya untuk Almarhum," kata Sudirman Haji Arshad.

Bercakap kepada para pemberita sempena perasmian pejabat barunya setinggi empat tingkat berharga $750,000 di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Sudirman memberitahu, "sebagai penyanyi Malaysia yang pertama berpeluang menyanyi di tempat bertaraf antarabangsa, saya berjanji akan memberikan satu persembahan yang menarik."

Sudirman yang akan berada di sana selama seminggu akan bertolak dari Kuala Lumpur pada 13 Januari ini bersama pengurus dan 21 lagi ahli rombongan yang terdiri dari dua penyanyi latar iaitu Azlina dan Liza Aziz, pemuzik terkenal Michael Veerappan, Lewis Pragasam, Fauzi Marzuki, empat orang penari dan beberapa krew.

Menyentuh mengenai perkembangan album Inggeris single "One Thousand Million Smiles" yang telah diedarkan sejak Julai lalu, Sudirman memberitahu, setakat ini beliau belum mengetahui perkembangannya.

"Bukanlah mudah untuk mendapat tempat atau sambutan secara mendadak. Sedangkan Richard Marx mengambil masa lima tahun. Saya rasa enam bulan tidaklah terlalu lama.

"Tahun 1990 adalah tahun yang paling sibuk bagi saya, bukan saja urusan nyanyian malah perniagaan minuman SUDI saya. Sebab itulah rancangan promosi di London terpaksa ditangguhkan beberapa kali. Insya-Allah jika tiada aral melintang pada Jun tahun depan, saya akan ke sana bagi tujuan promosi album single itu," kata Sudirman.

Mengenai filem 'Mem' yang dirancangkan pada Disember itu terpaksa ditangguhkan kerana skripnya terpaksa diolah lagi.

"Kalau mahu sekarang juga saya boleh terbitkan tetapi saya tidak mahu tergopoh-gapah dalam melakukan kerja. Apa yang penting ketelitian sebab itulah skrip yang telah siap itu terpaksa saya olah lagi untuk melicinkan perjalanan ceritanya," kata Sudirman.

'Mem' adalah sebuah filem yang mengisahkan seorang graduan yang menganggur. Beliau kemudian mendapat kerja dan bossnya adalah seorang wanita. Watak Mem dicadangkan untuk Noorkumalasari manakala graduan itu akan dilakonkan oleh Sudirman sendiri.

Di samping menulis skrip filem, Sudirman juga telah menyiapkan novel untuk kanak-kanak "Taming Si Budak Pintar" yang akan mula diedarkan tahun depan. Beliau juga kini sedang menulis beberapa buah buku lain.

Oleh: Muzlina Abu Bakar
Foto: Kadir Bachok
Sumber: Sisipan hiburan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Disember 1990.

Sudirman bersama Fauzi Marzuki di London sewaktu rakaman single "One Thousand Million Smiles" pada bulan Julai 1990.


Sudirman bersama pembantu peribadinya Peter Joseph dan Pengurusnya Dharanee sewaktu di Hawaii pada bulan Januari 1991.


Sudirman bersama pengurusnya Dharanee yang ketika itu agak sibuk dalam menguruskan perniagaan minuman SUDI nya.

No comments: