Sunday, March 1, 2020

LEBIH 2,000 ZIARAHI JENAZAH SUDIRMAN


TEMERLOH 22 Feb. - Lebih 2,000 orang, termasuk pemimpin politik menziarahi Allahyarham Sudirman Haji Arshad sebelum jenazah penyanyi nombor satu Asia itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, di sini, pukul 3.45 petang ini.

Antara mereka termasuklah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Dato' Sabaruddin Chik, Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato' Abdullah Haji Kia dan Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Dato' Haji Abdul Aziz Abdul Rahman.

Ahli Exco kerajaan negeri, Dato' Bahari Tan Sri Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Semantan, Encik Mohd. Sarit Haji Yusoh juga turut menziarahi jenazah penyanyi popular tanah air itu.

Ramai peminat Sudirman yang mengetahui berita kematiannya, menunggu sejak pukul 8 pagi lagi di rumah ibu tiri Allahyarham, Puan Meriam Mohamad di Kampung Tok Embun, Kilometer 5, Jalan Temerloh-Mentakab, dekat sini.

Wartawan Mingguan adalah antara orang pertama tiba di rumah itu kira-kira pukul 7.50 pagi, setelah mendapat tahu mengenai kematian penyanyi tersebut kira-kira pukul 6.30 pagi ini.

Jenazah Sudirman tiba dengan kereta jenazah milik FELDA di rumah itu pukul 1.26 tengah hari dengan diiringi oleh beberapa orang anggota keluarganya yang terdekat, disambut oleh Puan Meriam dan abang sulungnya, Encik Zainudin Haji Arshad.

Salah seorang lagi abangnya, Encik Morni Haji Arshad yang bertugas sebagai Pegawai Turus di Ibu Pejabat FELDA Kuala Lumpur, tiba kira-kira limat minit kemudian di rumah itu. Beliau bertolak dari Kuala Terengganu awal pagi ini setelah mengetahui berita kematian adiknya itu.

Anggota Polis terpaksa berkawal bagi mententeramkan orang ramai yang bersesak dan cuba menyerbu ke atas rumah untuk menatap wajah Allahyarham bagi kali terakhir.

Mereka diminta turun ke halaman rumah bagi membolehkan urusan memandi dan menyembahyangkan jenazah dijalankan dengan sempurna.

Polis juga terpaksa mengawal kesesakan lalu lintas di jalan utama Temerloh-Mentakab, apabila terlalu ramai orang membanjiri sekitar kawasan rumah Allahyarham untuk mengetahui perkembangan lanjut diri penyanyi itu.

Keluarga Allahyarham kemudian membenarkan orang ramai menatap bagi kali terakhir wajah Sudirman selepas selesai dimandi dan dikapankan, bagi mengelakkan kekecewaan mereka yang setengahnya datang dari luar Pahang.

Sementara itu, Abang Allahyarham, Morni Haji Arshad memberitahu wakil Mingguan, Sudirman terlalu merahsiakan penyakit yang dihidapinya sehingga tidak ada sesiapa anggota keluarga mengetahui keadaan itu pada peringkat awal.

"Saya hanya mengetahui tentang penyakit yang dihidapi Sudirman selepas keadaannya dikatakan agak teruk," katanya penuh sayu.

Menurutnya, ketika sedang sakit Allahyarham juga pernah berpesan supaya adik-beradiknya tidak terlalu mengambil berat mengenai dirinya, sebaliknya memberikan tumpuan kepada keluarga masing-masing.

Sudirman, anak bongsu dari enam beradik, mula diserang sakit secara mengejut sejak kira-kira setahun lalu dan menjalani pelbagai rawatan, termasuk secara tradisional.

Allahyarham dikatakan terlalu rapat dengan dua kakaknya, Rudiah dan Roaini, berbanding perhubungannya dengan tiga lagi abangnya, Zainudin, Morni dan Roslan.

Sumber: Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 23 Februari 1992.


No comments: