Saturday, March 21, 2020

P. RAMLEE BIDUAN SAYA


Pertama kali saya lihat orangnya ialah sewaktu umur saya sembilan tahun. Itu pun antara nampak dan tidak nampak. Penonton berduyun-duyun ramainya. Masing-masing menjingkit kaki, dan memanjat apa saja yang membolehkan mereka melihat Seniman Agung itu beraksi di atas pentas. Saya terlompat-lompat di belakang pentas untuk melihatnya. Sekali saya melompat, sekali itulah saya dapat melihat 'hero' masyarakat itu. Akhirnya saya mengalah, dan hanya berpuas hati dengan mendengar suara orangnya sahaja, sementara mata saya memandang penonton-penonton sekeliling pentas yang sudah tidak menghiraukan sama ada mereka ketinggalan bas lewat malam atau tidak.

Malam itu, ramai orang terhibur. Saya terpegun bagaimana seorang insan boleh mengawal, menyentuh dan mencuit perasaan orang ramai yang beribu-ribu itu. Sesungguhnya dia milik ramai.

Memang ramai pengikut Allahyarham P.Ramlee di kampung saya. Semasa masih anak-anak, filem-filemnya bagaikan satu hadiah untuk seluruh masyarakat Temerloh, Pahang. Panggung Semantan yang bagai nak roboh itu akan menjadi sesak dengan penghuni kampung-kampung berdekatan. Mereka berasak-asak membeli tiket. Ada yang tarik baju. Ada yang panjat dinding. Ada yang bertumbuk. Ada yang pengsan. Ini semua perkara biasa bagi kami. Lebih-lebih lagi apabila filem P.Ramlee sedang ditayangkan.

Saya masih ingat suara sayunya menyanyikan lagu Nasib Si Miskin, Berkorban Apa Saja, Tidurlah Permaisuri, Jeritan Batinku dan berpuluh-puluh lagi. Ia mengingatkan saya akan keluarga saya sewaktu saya masih kecil. Kami selalu berkelompok mendengar radiogram besar yang berat setengah ton. Saya juga teringatkan kepingan-kepingan rekod yang setebal capati. Kalau jatuh boleh terbelah empat. Dan saya juga masih ingat bagaimana berharganya rekod-rekod P.Ramlee kepada keluarga kami. Kerana itulah lagu-lagunya amat menyentuh saya sedalam-dalamnya. Dan sehingga hari ini, lagu-lagunya masih segar dalam ingatan saya.

Pada zaman kegemilangannya, ramai anak-anak muda di kampung saya yang terikut-ikut dengan caranya berpakaian, bergaya dan menyanyi. Remos P.Ramlee, Misai P.Ramlee, Senyuman P.Ramlee. Sehingga jerawat pun, jerawat P.Ramlee. Yang cuba menyanyi ala P.Ramlee, usah dikira lagi, berlori-lori ramainya.

Dan P.Ramlee terus menghibur dalam pergolakan masa. Selera bertukar ganti. Artis-artis baru datang dan pergi. Angkatan Pop Yeh-Yeh menular. Satu 'revolusi' selera muncul seperti air bah yang melimpahi tebing sungainya. Dan terdapat sebahagian masyarakat mula memandang sepi terhadap P.Ramlee. Namun dia tidak pernah mengalah. Hingga ke akhir hayatnya. Kerana dia seniman tulen.

Pada pagi 29 Mei tahun 1973 itu, saya sedang bersiap-siap di dalam asrama untuk ke sekolah. Berita pemergiannya mencengkam saya dan penuntut-penuntut yang meminatinya. Tiba-tiba saya rasa seolah-olah sesuatu yang perlu telah hilang. Kosong. Lengang. Seperti kilat saya teringat emak saya, ayah saya, abang-abang dan kakak-kakak saya, radiogram buruk kami, rekod-rekod lama kami dan rumah papan yang usang tempat saya dilahirkan. P.Ramlee sudah tidak ada lagi. Tapi seperti juga ingatan saya terhadap kehidupan kami sewaktu saya kecil, ingatan terhadap P.Ramlee akan terus kekal abadi kerana P.Ramlee sebahagian besar dari kehidupan kami.

Sepanjang hayat saya hanya menerima apa yang dicurahkannya seperti juga saya menerima sumbangan dari seniman-seniman lain. Keagungan sumbangannya hanyalah benar-benar saya rasakan setelah dia sudah tiada lagi. Dan ramai lagi yang berperasaan seperti saya. Kini yang tinggal hanya sanjungan dan pujaan yang tidak akan luput.

Sememangnya, kalau kita menabur jasa dengan ikhlas tanpa meminta dibalas dan disanjung, keagungan jasa itu dengan sendirinya akan menerbitkan penghargaan yang tinggi di kalangan orang ramai. Tidak payahlah kita mendabik dada untuk dihargai. Ia akan datang dengan sendiri. Tetapi sayangnya, ini kerap berlaku hanyalah apabila orang yang berjasa itu sudah tiada lagi. Begitu lumrah alam.

Petikan: Dari Dalam Sudirman muka 15.

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
(22 Mac 1929 - 29 Mei 1973)

2 comments:

Unknown said...

2-2 adalah legend. mcm mn dier rindukan pm ramlee.. mcm tu lah sy rindukannya

Anonymous said...

Betul tu..sukar nak cari ganti.. DIR..you are as great as P. Ramlee